WAKIL Malaysia cemerlang dalam Kejohanan E-Sukan Komanwel apabila mereka memenangi dua pingat emas di Pusat Konvensyen Antarabangsa di Birmigham, awal pagi tadi.

Nor Haikal Noh, yang mewakili juara Liga Super Malaysia, Johor Darul Ta'zim (JDT), memastikan kilauan emas dengan menewaskan lawan dari Scotland 2-0 dalam Grand Final eFootball (Terbuka) sementara Wales menewaskan Gibraltar untuk meraih gangsa.

Malaysia kemudian meraih satu lagi pingat emas, kali ini dalam acara Dota 2 (Wanita).

Pasukan yang dibariri oleh Stephanie "Auroraa" Lim, Nadrah "Nada" Saufi, Wong "HG" Wei Sian, Bette "iStarx" Chia dan Tan "Shizuma" Lyn Xhin itu mengakhiri kempen mereka dengan rekod sempurna selepas mengatasi England 2-0.

Malaysia berpeluang melengkapkan emas ketiga apabila akan menentang England dalam Pusingan Akhir Dota 2 (Terbuka) hari ini.

Mereka diwakili oleh William "MangO" Yeoh, Denise "Wonder'boy" DanialAbdullah, Chung "Ws`" Wei Shen, Ahmad "Ahyad" Ayhad Husam, Pang "ponyo" Sze Xuan dan Yong "LOyd" Bing Jie.

Walaupun tidak secara rasmi menjadi sebahagian daripada Sukan Komanwel 2022, kejohanan e-sukan berjalan serentak dengan temasya di Birmingham itu. - Stadium Astro