"PINGAT emas pertama (Malaysia) dalam Sukan Olimpik bukan di Tokyo 2020 tetapi mungkin di Rio," demikian keyakinan yang disuarakan oleh Penolong Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi.

Tiga sukan dilihatnya memiliki potensi besar untuk menamatkan penantian panjang sukan negara untuk meraih emas sulung Olimpik.

Jika sebelum ini hanya badminton diletakkan sasaran tinggi, kali ini berbasikal trek dan terjun juga mampu mencipta kejutan di Rio.

"Secara realistik, tiga sukan, iaitu badminton, menerusi Datuk Lee Chong Wei, berbasikal Azizulhasni Awang, dan terjun seirama wanita.

"Di atas kertas, saya yakin tiga sukan ini adalah jawapan terbaik," katanya.

Dalam pada itu, Kok Chi juga berpandangan atlet negara yang beraksi di Rio tidak boleh terlalu bergantung kepada kawalan keselamatan yang disediakan penganjur.

Baginya, atlet itu sendiri boleh mengelakkan diri daripada terlibat dengan kejadian yang tidak diingini dengan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.

"Semua atlet dan pegawai perlu lebih berhati-hati dan menjaga keselamatan sendiri.

"Saya yakin pihak keselamatan di Brazil telah berusaha meningkatkan tahap keselamatan," ujarnya.