JURULATIH Arsenal, Mikel Arteta mahu anak-anak buahnya melupakan kekecewaan tewas 0-2 kepada Aston Villa yang menjejaskan misi The Gunners untuk mencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Beliau berkata, para pemain perlu bangkit mempamerkan karakter sebenar kerana perjuangan mereka masih belum berakhir.

“Jika anda mahu memenangi EPL dan Liga Juara-Juara, anda perlu bangkit,” katanya.

The Gunners berpeluang merampas kembali kedudukan teratas liga jika meraih kemenangan di Stadium Emirates itu.

Namun sebaliknya Arsenal kalah buat kali pertama dalam 12 aksi liga apabila dua jaringan dalam tempoh enam minit terakhir perlawanan hasil sentuhan Leon Bailey dan Ollie Watkins memusnahkan impian mereka.

“Inilah realitinya. Kami sedar perkara ini boleh berlaku. Kami perlu bertindak balas dengan cara yang betul,” ujar Arteta.

Arsenal ketika ini menghuni tempat kedua, ketinggalan dua mata di belakang pendahulu, Manchester City dengan berbaki enam perlawanan dalam usaha mereka untuk dinobatkan sebagai juara EPL buat kali pertama sejak 20 tahun lalu.

The Citizens dilihat berpeluang memenangi trofi EPL buat kali keempat berturut-turut dan ia akan menjadi sejarah kerana tidak pernah berlaku sebelum ini jika mereka memenangi baki perlawanan selepas ini. - Sinar Harian