VOLI Kapten Manchester United, Bruno Fernandes mengakhiri rentetan tiga kekalahan The Red Devils semua pertandingan ketika menewaskan Burnley, 1-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Turf Moor pada Sabtu.

Pemain Portugal itu yang mendapat hantaran Jonny Evans penghujung separuh masa pertama tidak berdepan masalah menewaskan penjaga gol Burnley, James Trafford.

Sebelum itu, skuad kendalian Erik ten Hag berpeluang memimpin permainan, namun tandukan minit ke-26, Evans dibatalkan video bantuan pengadil (VAR) kerana ofsaid.

The Clarets kendalian Vincent Kompany juga memiliki deretan peluang, namun ketumpulan penyudah menafikan usaha tuan rumah.

Sebagai rekod ini merupakan kemenangan ketiga Manchester United musim ini yang membolehkan kelab itu mengumpul sembilan mata untuk selepas mengharungi enam perlawanan manakala Burnley pula mengumpul satu mata daripada lima perlawanan.

Tekanan semakin memuncak ke atas Ten Hag selepas kekalahan liga berturut-turut kepada Arsenal dan Brighton & Hove Albion dan terbaru kepada Bayern Munich dalam aksi Liga Juara-Juara di Allianz Arena pada Rabu.

Dalam pada itu, kemenangan di Turf Moor tersebut merupakan detik hebat untuk Evans berusia 35 tahun yang kembali ke kelab itu dengan kontrak setahun yang membuat pernampilan pertamanya untuk United sejak 2015.

"Kelab ini, jika anda tidak memenangi perlawanan, anda akan diserang.

"Sesetengah pemain muda belum mengalaminya tetapi saya berharap penampilan ini memberikan sedikit ketenangan.

"Semoga ini boleh memulakan sesuatu untuk yang baharu buat kami," kata Evans.

Sementara itu, Fernandes berkata, "Kami tahu bahawa United berada dalam momentum yang sukar ketika ini, namun saya percaya kami boleh bangkit daripadanya.

“Jelas sekali persembahan hari ini bukanlah yang terbaik tetapi kami mendapat tiga mata yang merupakan perkara paling penting.”

Dalam pada itu, Ten Hag mengakui pasukannya telah menunjukkan semangat berpasukan yang hebat.

Malah katanya, United bertekad untuk mengharungi tekanan hebat Burnley sejak awal permainan. - Sinar Harian