ERIK Ten Hag menegaskan Manchester United masih menunjukkan peningkatan walaupun terkulai di tangan seteru kota, Manchester City, dalam perlawanan 'derby' awal pagi tadi.

Erling Haaland meledak dua gol -– yang pertama menerusi sepakan penalti disusuli tandukan berbisanya -- dan Phil Foden menokok satu lagi gol ketika juara 'treble' berkenaan menang 3-0 dalam pertemuan berat sebelah Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford itu.

Keputusan itu menonjolkan keunggulan City ke atas jiran mereka itu -- jurang di antara kedua-dua pasukan kini adalah sembilan mata selepas 10 perlawanan -- sambil menafikan bahawa pendekatan berbeza arah United selepas memenangi tiga perlawanan sebelum ini memakan diri.

Pengurus dari Belanda itu, bagaimanapun, meluahkan kenyataan berani: “Tiga perlawanan sebelum kami menang dan semangatnya sangat baik. Semangat juangnya sangat baik.

“Saya rasa kami dalam perjalanan menuju ke peringkat atasan. Kami mengharungi permulaan yang sukar tetapi kami sedang menuju ke kemuncak prestasi.


“Kami perlu bersabar tetapi saya gembira beberapa masalah kecederaan kami kembali pulih dan pasukan kami akan menjadi lebih kuat.”

Ten Hag berasakan United masih berdaya saing dalam separuh masa pertama apabila dibolosi sekali menerusi sepakan penalti Haaland pada minit ke-26.

Dia berkata: "Apabila anda melihat aksi babak pertama, permainan adalah seimbang dan hanya sepakan penalti yang mengubah senario perlawanan ini.

“Begitupun, kami berpeluang untuk bangkit contohnya dengan percubaan Scott McTominay sebelum rehat.

“Jadi, saya rasa secara kebetulan detik ketika tu adalah sangat hebat.”