KUALA LUMPUR: Akta Perubahan Iklim Negara yang akan dibentangkan di Parlimen perlu memasukkan peruntukan menangani pengurusan pusat data.
Pegawai Penyelidikan Alam Sekitar C4 Center, Nabila Syuhada Zulkeflee berkata aspek penggunaan sumber bagi tujuan operasi pusat-pusat data ini perlu diperincikan dalam akta berkenaan.
"Kita perlukan urus tadbir yang berkesan untuk tangani penggunaan sumber yang lebih terkawal. Apabila air digunakan secara tidak terkawal, ia mewujudkan lebih banyak masalah. Apabila kita sentuh mengenai Akta Perubahan Iklim Negara, isu pelepasan haba dan penggunaan air oleh pusat data juga perlu disertakan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Dialog Anak Muda pada Jumaat.
Dalam temu bual sama, Penyelaras Komuniti (Iklim & Tenaga) Greenpeace Malaysia, Aidil Iman Aidid pula berpandangan, garis panduan mengenai pembinaan pusat data juga perlu diselaraskan di peringkat persekutuan.
"Kita tidak mahu ada pusat data di kawasan perumahan... Kita mahu lihat penggunaan AI yang baik; pembangunan komuniti, pemeliharaan dan sebagainya. Kita juga masih tidak ada garis panduan mengenai pembinaan pusat data di Malaysia.
"Mungkin ada garis panduan di Johor, tetapi tidak untuk peringkat kebangsaan. Pada masa yang sama, kita ada banyak permohonan daripada syarikat-syarikat teknologi yang mahu membina pusat data di Malaysia," jelasnya.
Pada 2 September, Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP) menerbitkan laporan Limiting Overshoot: Navigating Exceedance of 1.5°C and Pathways Towards Return. Ia dilancarkan sebagai laporan khas yang meneliti implikasi dunia yang dijangka melepasi had pemanasan global 1.5°C serta pilihan dasar dan tindakan yang masih ada untuk mengehadkan kesannya dan mengembalikan suhu global ke bawah paras tersebut.
Menurut UNEP, laporan itu diterbitkan ketika konsensus saintifik menjangkakan suhu dunia akan meningkatkan melepasi sasaran 1.5°C dalam tempoh beberapa tahun akan datang di bawah trajektori semasa, sekali gus menjadikan strategi "overshoot, peak and decline" sebagai laluan terbaik yang masih tersedia untuk meminimumkan risiko iklim.