Skip to main content

Malaysia

PH tegaskan tiada sesiapa mengatasi undang-undang

Pakatan Harapan
Majlis Presiden PH menegaskan kedaulatan undang-undang mesti dihormati dan tiada individu mengatasi undang-undang susulan keputusan pengampunan bersyarat terhadap Datuk Seri Najib Razak.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menegaskan prinsip kedaulatan undang-undang mesti dihormati dan tiada mana-mana individu mengatasi undang-undang susulan keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan berhubung pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menerusi satu kenyataan, PH berkata ia berdiri teguh bersama pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta nasihat yang dikemukakan oleh Peguam Negara dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh kepada Lembaga Pengampunan.

Menurut PH, prinsip kedaulatan undang-undang perlu terus dipertahankan tanpa mengira kedudukan, pangkat atau status seseorang individu.

“Dan sesiapa sahaja yang didapati bersalah perlu menjalani hukuman mengikut lunas undang-undang seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” menurut kenyataan itu.

Pada masa sama, PH menegaskan komitmennya untuk meneruskan agenda reformasi institusi serta memperhebat usaha membanteras rasuah dan penyelewengan di negara ini.

“Majlis Presiden berazam akan meneruskan usaha membanteras rasuah, mengangkat agenda reformasi dan membersihkan negara daripada unsur-unsur rasuah dan penyelewengan,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan keputusan Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64 yang memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib.

Menerusi keputusan itu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan Najib menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta serta pematuhan syarat-syarat yang ditetapkan.

Sekiranya syarat berkenaan gagal dipatuhi, pengampunan bersyarat itu akan terbatal dan beliau perlu meneruskan baki hukuman di penjara.

Terdahulu, Mesyuarat Majlis Presiden PH yang dipengerusikan Anwar berlangsung lebih sejam di Bangunan Perdana Putra bermula kira-kira 5.30 petang.

Antara pimpinan yang menghadiri mesyuarat itu ialah Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke; serta Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Mesyuarat berkenaan berakhir sekitar jam 7 malam sebelum beberapa kenderaan yang membawa pimpinan gabungan itu dilihat meninggalkan kompleks Perdana Putra.

Must Watch Video

Advertisement