CHRISTIAN Horner akan meneruskan tanggungjawab sebagai ketua pasukan Formula Satu (F1) Red Bull selepas dia dibebaskan daripada dakwaan "tingkah laku yang tidak wajar".

Ia susulan pengumuman syarikat induk Red Bull Racing, Red Bull GmbH pada 5 Februari lalu bahawa Horner sedang disiasat berikutan tuduhan yang dibuat terhadapnya oleh seorang rakan sekerja wanita.

Horner dengan tegas menafikan dakwaan itu, dan lelaki berusia 50 tahun itu -- yang tiba di Bahrain pada hari Rabu menjelang perlumbaan pembukaan musim ini -- telah dibebaskan daripada kesalahan.

Red Bull GmbH berkata pihaknya yakin penyiasatan itu "adil, rapi dan tidak berat sebelah", tetapi menambah bahawa laporan itu - difahamkan sehingga 150 muka surat -- adalah 'sulit'.

Sementara itu 'bos' pasukan Mercedes, Toto Wolff, telah menggesa siasatan dijalankan dengan ketelusan -- tetapi tiada butiran dakwaan terhadap Horner dilaporkan.

Horner tidak membuat sebarang komen awam. Dia dijangka berada di pit-wall Red Bull di Bahrain untuk latihan pada hari Khamis.

Pengadu juga mempunyai hak untuk merayu keputusan itu.

Kenyataan daripada Red Bull GmbH berbunyi: “Siasatan bebas terhadap dakwaan yang dibuat terhadap Encik Horner telah selesai, dan Red Bull boleh mengesahkan bahawa aduan itu telah ditolak.

“Pengadu mempunyai hak untuk merayu. Red Bull yakin bahawa penyiasatan itu adalah adil, rapi dan tidak berat sebelah.

“Laporan penyiasatan itu adalah sulit dan mengandungi maklumat peribadi pihak yang mendakwa dan pihak ketiga yang membantu dalam siasatan, dan oleh itu kami tidak akan mengulas lanjut bagi menghormati semua yang berkenaan. Red Bull akan terus berusaha untuk memenuhi piawaian tempat kerja tertinggi.”

*Artikel asal yang disiarkan di Stadium Astro