LEWIS HAMILTON menyeru penggubal peraturan Formula Satu (F1) agar memperkenalkan peraturan baharu yang radikal demi menamatkan dominasi Max Verstappen dalam sukan itu.

Hamilton percaya Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) harus menafikan peluang semua pasukan daripada membangunkan jentera musim depan sebelum satu tarikh yang ditetapkan.

Juara dunia tujuh kali itu berkata, Verstappen yang mewakili Red Bull mampu berada jauh di hadapan tahun ini memandang telah pun memulakan projek 2024 mereka lebih awal.

Begitupun, Verstappen yang telah memenangi enam daripada lapan pusingan pembukaan kelihatan seperti sukar disekat untuk melengkapkan kejayaan hatrik menolak cadangan Hamilton itu apabila mengingatkan
Hamilton bahawa dia tidak pernah merungut tentang peraturan ketika seteru dari Britain tersebut sedang menikmati kejayaannya.

Bercakap menjelang (GP) Grand Prix Austria di Spielberg, hujung minggu ini, Hamilton yang ketinggalan 93 mata di belakang Verstappen dalam pemburuan kejuaraan berkata: “Pada penghujung tahun kami mungkin mampu mengejar Red Bull, tetapi itu mungkin disebabkan mereka sudah memberi tumpuan kepada kereta tahun depan .

“Mereka tidak perlu membuat sebarang perubahan terhadap jentera memandangkan mereka sudah jauh di hadapan.

“Saya sudah berada di kancah ini selama 17 tahun dan sebelum saya sampai di sini, wujud detik penguasaan dan ia terus berlaku.

“Saya bernasib baik kerana pernah menikmati salah satu daripada tempoh itu dan Max sedang menempuhinya sekarang tetapi berikutan ia berlaku berulang kali jadi kami tidak memerlukan elemen sebegitu dalam sukan itu.

“Sekiranya anda berada jauh di hadapan, anda tidak perlu membangunkan lagi kerea anda dan anda boleh mulakan projek kereta yang seterusnya dengan lebih awal jadi bajet yang ada, anda boleh membelanjakan wang tahun ini untuk tahun depan.

"Tetapi jika semua orang mempunyai masa yang hanya membenarkan pengeluar memulakan projek tahun depan dalam tempoh tertentu, katakan pada 1 Ogos jadi tiada siapa yang boleh bermula awal.

"Senario ini pastinya menjadikannya ibarat perlumbaan sebenar dalam usaha menyiapkan kereta yang akan digunakan pada masa depan dalam ruang masa yang singkat.

“Mungkin itu akan membantu semua orang menjadi lebih berdaya saing pada tahun berikutnya. Saya mungkin tersilap tetapi sesuatu perlu diubah.” - Stadium Astro