Walaupun sudah menjaringkan tiga gol sepanjang saingan Kumpulan A Pusingan Kedua Kejohanan Liga Hoki Dunia 2015 di Stadium Hoki Sengkang di sini, Faizal Saari mengakui belum berpuas hati dengan sumbangannya itu.

Penyerang skuad kebangsaan itu berkata beliau mampu menghadiahkan Malaysia lebih banyak gol berbanding tiga gol daripada dua perlawanan peringkat kumpulan sebelum ini.

"Saya lihat Singapura ada ramai pemain muda, jadi kita tidak boleh ambil mudah apabila berdepan mereka esok. Kami akan mengkaji corak permainan Singapura.

"Bagaimanapun, pemain remaja kita juga sudah menampilkan peningkatan prestasi yang baik," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan menentang Oman, pada Isnin.

Faizal menjaringkan satu gol pada perlawanan pertama Malaysia menentang Ukraine, Sabtu lepas dan dua gol bertemu Oman.

Sementara itu, ketua pasukan Malaysia Muhammad Razie Abdul Rahim berkata mereka sudah mula serasi dengan keadaan padang tidak rata di stadium berkenaan.

"Banyak perkara sudah diperbaiki hari ini, cuma banyak pukulan sudut penalti yang terlepas. Mungkin teknik yang kita gunakan silap sedikit tetapi kita akan pastikan, ia tidak berulang pada perlawanan menentang Singapura esok.

"Walaupun Singapura banyak pemain remaja, tetapi mereka bukan sebuah pasukan yang lemah. Mereka ada barisan pemain yang mantap," katanya.