Pemain kebangsaan, Ahmad Fakri Saarani bakal menguatkan skuad Kelantan apabila pintu perpindahan kedua Liga-M dibuka April depan.

Pengambilan bekas pemain Harimau Muda dan Felda United itu disahkan penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa.

Annuar menerusi laman sosial Facebook miliknya, memaklumkan Kafa sudah mencapat kata sepakat dengan kelab Fakri, Athletico SC yang bersaing dalam Divisyen Tiga Portugal.

Annuar optimis kemasukan Fakri akan menambah kekuatan jentera serangan the Red Warriors bagi saingan musim ini.

Pemain yang berusia 23 tahun ini, sebenarnya dilahirkan di Kota Bharu tetapi dibesarkan di Ipoh dan memulakan kariernya bersama Perak pada 2007.

Sebelum mengikat kontrak enam bulan dengan Athletico, Fakri pernah mengerah kudrat bersama Harimau Muda, Perlis, Negeri Sembilan dan Felda United.

Di peringkat antarabangsa, Fakri membantu skuad bawah 23 tahun kebangsaan, memenangi emas sukan Sea 2011 di Jakarta.

Fakri turut meraih 19 cap senior antarabangsa dengan skuad kebangsaan di bawah kendalian Datuk K.Rajagobal.