WALAUPUN belum rasmi, legenda Chelsea, Frank Lampard dijangka kembali ke Stamford Bridge apabila kontraknya dengan Chelsea dimuktamadkan minggu ini.

Pada Isnin, Derby County membenarkan Lampard untuk mengadakan perbincangan lanjut dengan wakil the Blues untuk menjadi pengurus baru kelab itu, menggantikan tempat Maurizio Sarri.

Ada laporan menyebut Lampard akan menerima kontrak tiga tahun dengan bayaran sehingga £4 juta setahun.

Menurut laporan the Telegraph, antara langkah awal Lampard sekembalinya ke Chelsea ialah untuk menggabungkan semula skuad senior dan akademi kelab itu.

Pemisahan skuad senior dan pemain di akademi dilakukan semasa Andre Villas-Boas dilantik menjadi pengurus the Blues pada 2011.

Pemain akademi dilarang untuk bergaul dengan pemain senior dengan menempatkan mereka di bangunan yang lain dan tidak berkongsi tempat makan.

Peluang pemain akademi untuk bermain dengan skuad senior kelab itu dipercayai berpunca daripada kurangnya interaksi di antara mereka.



Risiko untuk Chelsea?

Penganalisis berpendapat pemilihan Lampard satu risiko tinggi yang diambil kelab itu kerana kurang pengalaman.

Namun risiko itu adalah rendah kerana pada masa sama, Chelsea digantung daripada membeli pemain baru selama dua musim.

Rekod Lampard di Derby tidak begitu memberangsangkan memandangkan hanya mendapat 42.9% kemenangan daripada 49 perlawanan.

Secara keseluruhan, Derby di bawah kendalian Lampard hanya mencatat 42.1% kemenangan daripada 57 perlawanan, dengan 70 gol membolosi gawang.

Kerjaya Lampard sebagai pemain bola sepak profesional

Frank Lampard menyertai Chelsea dari West Ham dengan bayaran perpindahan £11 juta pada 2001.

Lampard memainkan peranan yang besar menamatkan kemarau 50 tahun tanpa gelaran utama liga Inggeris pada musim 2004/05 dengan menjaringkan 13 gol termasuk dua gol menentang Bolton yang mengesahkan gelaran milik the Blues.

Dia memenangi tiga gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL), empat Piala FA, dua Piala Liga, satu gelaran Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dan Liga Europa.

Lampard meninggalkan Stamford Bridge pada Jun 2014 dan membuat penampilan singkat unutk Manchester City, di mana dia menjaringkan enam gol dalam 32 permainan.

Dia kemudian berhijrah ke Amerika Syarikat untuk beraksi dengan New York City dalam Major League Soccer (MLS) pada 2015, sebelum menamatkan kerjaya sebagai pemain profesional pada 2017.

Bagi skuad kebangsaan England, Lampard memenangi 106 caps selepas membuat penampilan pertama pada 1999 dengan 29 gol untuk skuad the Three Lions.