Gandingan penerjun negara menampilkan aksi terbaik pada Kejohanan Terjun Piala Asia 2019 selepas merangkul dua pingat emas bagi kategori 3 meter papan anjal lelaki dan wanita di Pusat Akuatik Nasional di sini pada Jumaat.

Pasangan wanita Loh Ziayi-Ong Ker Ying dan pasangan lelaki Muhd Syafiq Puteh-Gabriel Gilbert meraih kemenangan dengan mengumpul, masing-masing 243.09 mata dan 354.18 mata dalam acara lima pusingan itu.

Bagi kategori wanita, pasangan Indonesia Maria Natalie-Linadini Yasmin meraih perak dengan 209.40 mata sementara Choi Sut Kuan-Lei Meng Hin dari Macau menduduki tangga ketiga dengan 184.14 mata.

Dalam pada itu, gandingan penerjun Indonesia Adityo Restu Putra-Tri Anggoro Priambodo mem[peroleh 290.34 untuk meraih perak sementara pasangan penerjun dari Qatar, Mohammed Shewaiter-Abdulaziz Balghaith mengumpul 206.82 mata untuk gangsa bagi kategori lelaki.

Bagi Ziayi, beliau menyifatkan prestasinya semasa bergandingan dengan Ong pada Jumaat sebagai "konsisten dan memuaskan".

"Saya harap dapat mengekalkan (persembahan) sehingga hari selepas esok (Sabtu)," katanya.

Penerjun berusia 22 tahun itu akan beraksi dalam 3m Papan Anjal Individu Wanita pada Ahad bersama Nur Dhabitah Sabri.

-- BERNAMA