Dengan berbaki dua perlawanan sebelum tamat saingan Liga Perdana Inggeris, gergasi kelab England, Arsenal, Manchester City dan Manchester United perlu memastikan tiga mata penuh diperoleh untuk layak ke Liga Juara-Juara musim depan.

Berbeza pula buat pasukan yang bergelut daripada penyingkiran musim lepas, Leicester City, yang boleh bermain sambil berpesta pada Sabtu selepas bergelar juara Liga Perdana Inggeris.

Skuad kendalian Claudio Ranieri bakal menerima kunjungan The Toffees di Stadium King Power, yang juga mahu melakarkan kemenangan untuk mengakhiri saingan musim ini di kedudukan yang selesa.

Manchester United pula akan bakal bertandang ke Carrow Road bertemu Norwich City. Pengurus pasukan Louis Van Gaal memberitahu pasukannya tidak mampu lagi menanggung kekalahan jika mereka mahu beraksi di pentas Eropah musim depan.

"Menang dan kalah adalah adat permainan, tetapi kami perlu menang dalam baki perlawanan musim ini," jelas Van Gaal.

Manchester City yang telah disingkirkan oleh Real Madrid untuk mara ke final Liga Juara-Juara mahu mengubat duka ketika berdepan Arsenal di Stadium Etihad dalam persaingan tempat ketiga dan keempat.