DUA insiden besar melibatkan nilai Ringgit Malaysia (RM) yang tidak dipaparkan dengan betul di Google Search kini nampaknya menyebabkan satu ciri berguna tidak lagi boleh digunakan.

Kami sedari sejak semalam sebarang pertanyaan pertukaran nilai mata wang yang melibatkan Ringgit Malaysia di Google Search tidak lagi memaparkan jawapan seperti dahulu.

Sebaliknya Google Search hanya memberikan pautan ke beberapa laman web yang boleh memberikan perkhidmatan pertukaran mata wang.

Jawapan tidak diberikan jika mata wang ingin ditukar ke Ringgit Malaysia atau Ringgit Malaysia ingin ditukar ke mata wang asing.

Ini bukanlah pepijat kerana jika pertanyaan menukar mata wang USD ke Dong Vietnam misalnya, jawapan boleh sahaja diberikan oleh Google Search tanpa sebarang masalah.



Kami juga menyedari jika soalan diajukan kepada Google Assistant, ia turut enggan memberikan jawapan.

Pihak Google Malaysia telahpun kami hubungi, tetapi kami masih menanti jawapan rasmi daripada mereka.

Kehilangan ciri ini agak melecehkan bagi mereka yang kerap melakukan carian nilai pertukaran wang menerusi Google Search.

Carian pertukaran mata wang ke Ringgit Malaysia masih boleh dilakukan menggunakan Bing atau Siri.

Jadi pada ketika ini, gunakanlah alternatif selain Google Search. -Amanz