KUALA LUMPUR: Usaha terselaras yang dilaksanakan oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta libat urus yang lebih meluas dengan syarikat korporat dan perniagaan di Malaysia telah mengukuhkan ringgit, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

Mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC) BNM hari ini menyatakan sejak 26 Februari, ringgit merupakan satu-satunya mata wang serantau yang mengukuh berbanding dolar AS, iaitu meningkat sebanyak 0.6 peratus.

Mata wang won Korea Selatan, baht Thailand, rupiah Indonesia, yuan China dan dolar Singapura masing-masing susut 1.6 peratus, 1.5 peratus, 1.4 peratus, 0.5 peratus dan 0.3 peratus, tambah BNM dalam kenyataan pada Isnin.

Pada tempoh yang sama, purata jumlah pertukaran asing (FX) harian adalah sebanyak AS$17.6 bilion berbanding dengan AS$15.5 bilion pada 2023, menurut bank pusat.

-- BERNAMA