JUARA dunia, Perancis bangkit daripada ketinggalan untuk menang 2-1 ke atas Jerman dalam saingan Liga Negara-Negara Eropah awal pagi tadi.

Antoine Griezmann menjaringkan dua gol untuk membantu Perancis yang beraksi di halaman sendiri meneruskan rekod tanpa kalah dalam kumpulan A1.

Jerman sebelum itu mendahului menerusi sepakan penalti, Toni Kross pada minit ke-14.

Penalti diberikan selepas bola terkena tangan Presnel Kimpembe dalam kotak penalti.

Kebangkitan skuad Les Blues bermula dalam babak kedua apabila Griezmann menyamakan kedudukan menerusi satu tandukan cantik, hasil hantaran silang Lucas Hernandez pada minit ke-62.

Perancis kemudian mendapat sepakan penalti selepas Mats Hummels melakukan faul ke atas Blaise Matuidi dalam kawasan penjaga gol Jerman.

Peluang itu diambil Griezmann untuk menjaringkan gol kemenangan menerusi sepakan penalti apabila menewaskan penjaga gol Jerman, Manuel Neuer pada minit ke-80.

Ini merupakan kekalahan kedua daripada tiga perlawanan yang dialami Jerman, selepas tumpas 3-0 kepada Belanda minggu lepas.

Bekas juara dunia empat kali itu belum mencatat sebarang kemenangan dalam kejohanan ini dan hanya mampu seri 0-0 dengan Perancis dalam perlawanan pertama di Munich bulan lepas.

Jerman dilihat bakal tersingkir daripada Liga A kejohanan, dengan hanya satu mata daripada tiga perlawanan dengan baki satu perlawanan lagi untuk dimainkan.