KUALA LUMPUR: Seorang guru sekolah dari Kota Bharu, Kelantan sanggup menempuh perjalanan 10 jam, demi 'melepaskan rindu' terhadap skuad Harimau Malaya di Stadium Nasional Bukit Jalil bagi aksi Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022, hari ini.

Mohammad Syafiq Suhaimi, 30, berkata, beliau yang hadir bersama bapa saudara dan sepupunya, amat teruja dapat memberikan sokongan kepada skuad kebangsaan dalam aksi kedua Kumpulan B menentang Laos, selepas kali terakhir menjejakkan kaki ke Bukit Jalil pada edisi 2018.

"Saya bertolak dari Kota Bharu pukul 11 malam tadi dan sampai di Kuala Lumpur 9 pagi tadi. Kami memang datang semata-mata nak tengok Harimau Malaya, lepas perlawanan terus balik semula ke Kelantan," katanya ketika ditemui Bernama di pekarangan stadium.

Mohammad Syafiq berharap agar skuad kendalian Kim Pan Gon mampu menjelmakan permainan yang cantik, sekali gus 'membaham' Laos 5-0 pada perlawanan kedua Kumpulan B, malam ini.

Dalam pada itu, penjawat awam dari Seremban, Hanis Roslin, 29, yang menjangkakan Malaysia menang 3-0, mengambil kesempatan musim cuti sekolah untuk membawa anak buahnya menonton pasukan kebangsaan hari ini.

Beliau juga tidak sabar untuk melihat pemain sayap lincah, Mohamad Faisal Abdul Halim beraksi mengucar-kacirkan skuad bimbingan pengendali dari Jerman, Michael Weiss, sekali gus membantu pasukan negara mengutip tiga mata penuh.

Peminat cilik Harimau Malaya, Aidil Zafran, 8, pula mengakui berasa seronok dapat bertandang ke stadium buat kali pertama, untuk menonton skuad kebangsaan beraksi pada kejohanan tersebut.

"Saya minat bola, tapi tidak pernah pergi ke stadium. Malaysia mesti menang," kata murid sekolah Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang, Klang itu.

Seorang lagi guru yang hanya mahu dikenali sebagai Farid, 45, mengambil keputusan membeli tiket pada saat akhir, selepas mendapati tiada tiket dijual secara fizikal pada kali ini.

"Saya baru tahu tiket jual secara dalam talian saja sebaik tiba di stadium, nasib baik tiket tidak habis lagi," katanya.

Malaysia membuka kempen Piala AFF 2022 dengan mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas Myanmar pada aksi berlangsung di Stadium Thuwunna, Yangon, Rabu lepas.

Satu lagi aksi Kumpulan B hari ini menyaksikan Singapura menentang Myanmar di Stadium Jalan Besar.
- BERNAMA