SEORANG lagi jurulatih Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menokhtahkan perjalanannya bersama badan induk itu.

Jurulatih skuad B-15 lelaki negara, Hafiz Hashim, turut mengumumkan di laman sosialnya pada 31 Disember lalu untuk meleraikan ikatannya selama lima tahun bersama BAM.

Hafiz nyata lebih selesa untuk bergerak secara bebas selain meletakkan fokus kepada akademinya sendiri iaitu Akademi Badminton Hashim.

"Saya mahukan suasana yang berbeza.

"Kalau keluar (BAM), saya mungkin lebih bebas kerana dengan BAM, saya terikat dengan kontrak dan tugas di BAM.

"Mungkin saya ada masa yang lebih banyak untuk memberi tumpuan kepada akademi sendiri," katanya di Nadi Arena pada Rabu.

Namun, dia tidak menolak kemungkinan untuk menerima mana-mana tawaran daripada pihak yang berminat andai memenuhi syarat dan keinginannya.

Dia mengakui keputusan itu agak drastik selepas tidak melihat perkembangan positif dalam kalangan anak buah kendaliannya.

"Kalau ada tawaran kelab dan negara dari luar, saya akan mempertimbangkannya," katanya lagi. -Stadium Astro