Bekas Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berpendapat calon yang paling layak menerajui FAM selepas beliau melepaskan jawatan itu adalah Setiausaha Agong FAM Datuk Hamidin Mohd Amin.

Perkara itu dicadangkan TMJ selepas mengambil kira pengalaman luas Hamidin yang telah lama berkhidmat untuk bola sepak tanah air.

“Jika kita lihat FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa) juga, presiden datang dari kalangan Setiausaha Agung kerana mereka amat memahami sistem pentadbiran bolasepak.

“Saya juga mempunyai hubungan yang amat baik dengan Hamidin dan ini akan memudahkan lagi kerjasama di antara FAM dan Malaysian Football League (MFL),” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Facebook rasmi FAM.

Tambah Tunku Ismail, beliau akan memberikan sokongan penuh terhadap Hamidin dan memastikan pendapatan FAM terjamin.

BACA: TMJ lepas jawatan Presiden FAM, dipilih Pengerusi MFL

BACA: Kami sudah pujuk TMJ - Yusoff Mahadi

Hamidin dilantik sebagai Setiausaha Agung FAM pada 2013 menggantikan Datuk Seri Azzuddin Ahmad, ketika di bawah pimpinan Sultan Ahmad Shah.

Dalam kenyataan sama, TMJ yang dilantik Pengerusi MFL turut mencadangkan nama Mohd Yusoff sebagai Pemangku Presiden FAM.

"Setelah peletakan jawatan saya sebagai presiden, saya syorkan Datuk Mohd Yusoff Mahadi dilantik sebagai Pemangku Presiden FAM sehingga kongres ke-64 FAM pada 14 Julai 2018," katanya.