PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin tidak berminat untuk menjawat jawatan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi menggantikan Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.

Menurut Hamidin, beliau komited untuk memberikan tumpuan penuh kepada FAM dan menegaskan tugasnya masih belum selesai bersama badan induk bola sepak negara.

“Dah tentu nama-nama pengganti ni semua orang boleh sebut nama.

Tetapi, saya tak berminat kerana kena faham, saya dah pegang satu jawatan iaitu Presiden FAM dan jawatan ini besar.

“Lagipun, masih banyak lagi yang saya mahu buat (di FAM).

"Mungkin ada individu lain yang boleh ganti Tan Sri Norza.

“Takkan mungkin saya menjawat dua jawatan persatuan yang memikul tanggungjawab besar dengan peminat yang ramai di seluruh Malaysia," katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran Jam Tangan Edisi Terhad CAT x Harimau Malaya di Wisma FAM Kelana Jaya pada Isnin.

Sebelum ini, Mohamad Norza membuat kejutan untuk melepaskan jawatan Presiden BAM pada hujung tahun ini.

Pengumuman tersebut menyaksikan Mohamad Norza akan melepaskan jawatan lebih awal selepas beliau pada 15 Julai lalu mengumumkan akan meninggalkan BAM selepas Sukan Olimpik Paris 2024.

Mohamad Norza yang juga Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menjelaskan sudah mempunyai beberapa nama untuk mengisi kekosongan tersebut, namun belum tiba masa untuk mendedahkannya.

Nama Hamidin dikatakan antara calon untuk menduduki kerusi nombor satu tersebut bersandarkan kejayaan memimpin FAM sejak menjawat jawatan tersebut pada 2018. - Sinar Harian