KUALA LUMPUR: Dalam pada itu, Hannah Yeoh akan mengadakan pertemuan empat mata dengan Lee Zii Jia apabila pemain badminton perseorangan lelaki negara itu pulang ke tanah air nanti.

Ia susulan prestasi tidak menentu pemain nombor empat dunia itu sejak kebelakangan ini.

"Saya akan bertemu Zii Jia apabila beliau kembali, kami akan mengadakan perbincangan, untuk membantu beliau memberi tumpuan kepada apa yang akan datang.

"Kami mahu Zii Jia menyumbang kepada Road to Gold, kami percaya beliau berpotensi, kami hanya mahu bersamanya, membantunya.

"Seperti yang saya katakan, ini adalah projek nasional jadi saya harap dalam perbincangan nanti semua pihak akan meletakkan kepentingan Malaysia, mendahului kepentingan individu," katanya dalam sidang media pelancaran Road to Gold di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada Ahad.

Zii Jia tewas kepada pemain nombor 49 dunia dari Taiwan, Lee Chia-Hao dalam pusingan kedua Terbuka Jerman pada Khamis. Ia adalah kali pertama dia tewas kepada pemain di luar senarai 40 terbaik dalam tempoh empat tahun.

Dia kemudiannya memuat naik hantaran di InstaStory berbunyi "Saya sudah selesai", sehari selepas itu.