Sambutan Hari Sukan Negara 2015 yang dijadualkan berlangsung 10 Oktober ini akan dibatalkan sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah bacaan 150.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamuluddin Abu Bakar berkata pembatalan sambutan Hari Sukan Negara yang dijadualkan berlangsung pada 10 Oktober ini tidak melibatkan seluruh negara, sebaliknya membabitkan kawasan yang mencatatkan bacaan IPU tidak sihat.

"Kementerian akan keluarkan garis panduan yang disediakan oleh Institut Sukan Negara (ISN). Kita tidak boleh mengambil satu pendekatan untuk seluruh negara kerana bacaannya berbeza antara kawasan.

"Kita akan mengeluarkan nasihat kepada kesemua peserta, Sekiranya IPU itu mencecah 150, sudah pasti kita sarankan supaya dibatalkan.

"Saya harap jerebu kembali reda kerana kami mahu cuaca yang baik pada 10 Oktober nanti, tetapi ia di luar kawalan kita. Saya berharap pergerakan angin dan hujan serta cuaca akan kembali pulih," tambahnya selepas melancarkan Cabaran Larian 10 hari 10 malam anjuran Kolej Kediaman Tuanku Bahiyah Universiti Malaya (UM), di sini pagi tadi.

Cabaran larian yang bakal dicatatkan dalam Malaysia Book of Records itu disertai 96 mahasiswa UM.

Menurut Khairy, jika bacaan IPU menunjukkan pada 100 sehingga 150, pihaknya akan memberikan senarai langkah berjaga-jaga kepada semua peserta yang terlibat dalam sambutan itu.

"Walaupun kita mahu meraikan Hari Sukan Negara, tapi janganlah sampai kompromi kesihatan rakyat kita.

"Kita juga sarankan kepada mereka yang ada penyakit jantung atau masalah bernafas untuk tidak terlibat. Yang penting adalah kesihatan. Itu adalah utama," tambah Khairy.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 ditarifkan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas ditarifkan sebagai berbahaya. Orang ramai boleh merujuk portal apims.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU semasa.