DOHA: Tampil sebagai pasukan bukan pilihan, Malaysia tetap mengharapkan untuk meraih tiga mata ketika bertemu Jordan dalam perlawanan pembukaan Kumpulan E kempen Piala Asia 2023 di Stadium Al Janoub di sini, malam esok (1.30 pagi 16 Jan waktu Malaysia).

Ketua jurulatih negara Kim Pan Gon berkata selain pasukan kini telah bersedia, petugas kejurulatihannya juga mempunyai semua maklumat mengenai kekuatan dan kelemahan Jordan, pasukan dengan ranking ke-87 dunia, termasuk dari segi kualiti setiap individu.

Menurut pengendali asal Korea Selatan berusia 45 tahun itu, rekod cemerlang dicapai Malaysia dalam 11 perlawanan terakhir yang menyaksikan Harimau Malaya menang dan seri ketika menentang pasukan ranking lebih tinggi, memberi keyakinan untuk saingan esok.

"Kita telah bersedia sepenuhnya untuk menentang Jordan esok. Sebagaimana orang ramai tahu bahawa Malaysia merupakan negara yang indah dengan rakyatnya yang baik dan ramah, kini kami datang ke kejohanan ini untuk perkenalkan pula bola sepak Malaysia yang kuat, dinamik dan bertenaga.

"Sejak Mac lepas kita telah bermain 11 perlawanan, tujuh menang, dua seri dan satu kalah, dan dalam menentang pasukan sekitar ranking 90 kita bemain enam kali, dua menang, tiga seri dan satu kalah. Rekod ini memberi keyakinan kepada kita bahawa kita boleh bermain dengan pasukan di ranking ke-87, Jordan," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Pan Gon berkata masalah kecederaan dihadapi beberapa pemain termasuk tonggak tengah, Endrick Dos Santos tidak menjejaskan rancangan pasukan itu.

"Memang ada kecederaan (dalam pasukan) tetapi kita tetap akan memberikan sepenuh tenaga untuk perlawanan esok dari segi taktikal, teknikal dan strategik," katanya.

Sementara itu, selaku kapten, Matthew Davies, yang berbangga mewakili Malaysia dalam kempen kali ini, menyifatkan keputusan positif ketika menentang Jordan sangat penting jika mereka mahu mara ke pusingan 16.

"Kami berada di sini bukan untuk bersikap defensif dan negatif, kami datang sini untuk bermain bola sepak yang baik, jadi kami harap dapat berbuat demikian," kata pemain pertahanan berusia 28 tahun itu sambil menegaskan faktor tekanan bagi perlawanan esok lebih dirasai Jordan.

Selain itu, pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu berkata kehadiran beberapa pemain Jordan dalam Liga Super juga memberi kelebihan kepada pasukan negara kerana sudah mengetahui keupayaan mereka.

Untuk rekod, Malaysia yang berada di ranking ke-130 tidak pernah menang ke atas Jordan dalam lima perlawanan terakhir iaitu tiga kalah dan dua seri, dengan pertembungan terakhir pada 2021 menyaksikan pasukan dengan julukan 'The Chivalrous Ones' itu menang 4-0 dalam perlawanan persahabatan.

-- BERNAMA