PETALING JAYA: Skuad Harimau Malaya bakal berdepan Turkmenistan pada 23 Mac dan Hong Kong (28 Mac) dalam aksi persahabatan di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor.

Ketua jurulatih pasukan negara Kim Pan Gon berkata kedua-dua pasukan itu; Turkmenistan yang berada pada kedudukan ke-135 dunia dan Hong Kong (146), mahu membalas dendam ke atas anak buahnya susulan kekalahan mereka sebelum ini.

Malaysia, pada ranking ke-145 dunia, menewaskan Hong Kong 2-0 dalam perlawanan persahabatan dan Turkmenistan 3-1 dalam kelayakan Piala Asia 2023, kedua-dua pertemuan diadakan Jun lepas di Stadium Nasional Bukit Jalil.

"Turkmenistan pasukan yang baik, saya mendapat tahu mereka sangat kecewa kalah kepada kami. Mereka mahu membuktikan kemampuan dengan mencabar kami sekali lagi, jadi ia disambut baik. Sama seperti Hong Kong, yang tidak dapat membawa pemain terbaik mereka dari China disebabkan pandemik COVID-19.

"Jadi, kali ini mereka akan bawa pasukan terbaik mereka. Ini bagus, kerana kedua-dua pasukan dari segi mental mahu mencabar kami," katanya dalam sidang media di Wisma FAM, di sini, hari ini.

Pan Gon berkata pihak kejurulatihan mahu skuad Harimau Malaya bermain menentang satu pasukan yang kuat dan satu pasukan yang mempunyai kekuatan sederhana, bagi memberikan pendedahan kompetitif terbaik, selain mengekalkan ranking sebagai 25 pasukan terbaik di Asia bagi mengelakkan pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027, dijangka bermula Oktober ini.

25 pasukan terbaik dalam ranking Mac akan terus bermain dalam pusingan kedua kelayakan tersebut pada November.

Berikutan Malaysia kini mengumpul 1066.6 mata dalam ranking FIFA mendahului Hong Kong dengan beza hanya 4.21, Pan Gong berkata mereka tidak boleh terlalu ghairah untuk melawan pasukan kuat dan kehilangan mata.

Sementara itu, jurulatih dari Korea Selatan berkenaan positif bermain di Stadium Sultan Ibrahim iaitu stadium pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) yang menggunakan rumput Zeon Zoysia seperti venue Piala Dunia di Qatar, akan membantu skuad Harimau Malaya berdepan pasukan gergasi Asia pada Piala Asia 2023, awal tahun depan.

"Bermain di atas rumput lembu (cow grass) (di Bukit Jalil) membantu kami memandangkan lawan kadangkala mengalami kesukaran, tetapi ia juga sukar apabila kami mahu bermain permainan pantas. Sudah tiba masanya untuk kami bermain di Stadium JDT yang mempunyai padang yang cantik..," katanya.

Mengenai panggilan untuk ke kem latihan akan datang, Pan Gon berkata beliau akan membuat keputusan strategik berdasarkan persembahan pemain.

"Tiada pemain yang dijamin tempat dalam pasukan Piala Asia, mereka perlu bersaing sesama sendiri dan membuktikan kemampuan mereka untuk berada dalam skuad.." katanya.

-- BERNAMA