SKUAD Harimau Malaya yang tiba di Doha, Qatar pada Isnin lalu akan mengadakan satu perlawanan persahabatan menentang Syria pada Isnin depan sebagai aksi pemanas badan menjelang sepak mula Piala Asia 2023.

Bagi saingan Kumpulan E, Malaysia akan bertemu Jordan di Stadium Al Janoub pada Isnin, 15 Januari, jam 8.30 malam (1.30 pagi Selasa waktu Malaysia); Bahrain di Stadium Jassim Bin Hamad pada Sabtu, 20 Januari, jam 5.30 petang (10.30 malam waktu Malaysia) dan Korea Selatan di Stadium Al Janoub pada Khamis, 25 Januari, jam 2.30 petang (7.30 malam waktu Malaysia).

Berdasarkan ranking terkini FIFA pada 21 Disember 2023, Malaysia kini di tangga 130, Jordan di tangga 87, Bahrain di tangga 86 manakala Republik Korea di tangga 23 dunia.

Dua pasukan teratas setiap kumpulan iaitu 12 pasukan (juara dan naib Juara kumpulan A, B, C, D, E dan F) bersama empat pasukan tempat ketiga terbaik kumpulan akan layak ke Pusingan 16 Terbaik yang dijadual berlangsung pada 28, 29, 30 dan 31 Januari.

Seterusnya, suku akhir akan berlangsung pada 2 dan 3 Februari, separuh akhir pada 6 dan 7 Februari manakala final pada Sabtu, 10 Februari di Stadium Lusail.


Ini merupakan kali keempat Malaysia berjaya layak beraksi di pentas Piala Asia selepas 18 edisi yang mana Malaysia layak secara merit pada edisi 1976 dan 1980, serta layak automatik selaku tuan rumah bersama pada 2007.

Sebagai rekod, pada ketiga-tiga edisi tersebut, Malaysia kandas di peringkat kumpulan. - Sinar Harian