SUKAN
Harimau Muda perlu kekal yakin hadapi Thailand - Nafuzi

Nafuzi menegaskan Harimau Muda perlu mengekalkan rentak positif yang ditampilkan dalam dua aksi terdahulu, selain tidak terlalu menghormati lawan. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara Nafuzi Zain berharap pemainnya mengekalkan keyakinan tinggi apabila menentang tuan rumah Thailand pada aksi terakhir Kumpulan F Kelayakan Piala Asia B-23 2026 di Pathum Thani, esok.
Nafuzi menegaskan Harimau Muda perlu mengekalkan rentak positif yang ditampilkan dalam dua aksi terdahulu, selain tidak terlalu menghormati lawan.
"Kedua-dua pasukan perlukan tiga mata. Kita wajib menang untuk layak sebagai empat naib juara terbaik kerana jika seri, kita tersingkir. Harapan saya, pemain terus yakin, jangan takut atau gugup, sebaliknya bermain seperti dua perlawanan lalu - penuh keyakinan dan habis-habisan untuk menang," katanya menerusi klip video yang dikongsi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini.
Jurulatih berusia 46 tahun itu, bagaimanapun, mengakui Thailand pasukan berkualiti yang mampu memberi tentangan hebat di Stadium Thammasat."Kalau lihat dua perlawanan awal, mereka jelas pasukan kuat. Bertemu tuan rumah bukan tugas mudah, tetapi yang penting kita yakin, tidak gentar dan ikut perancangan," katanya.
Malaysia memulakan kempen dengan kekalahan 0-1 kepada Lubnan sebelum bangkit menewaskan Mongolia 7-0. Selepas dua perlawanan, Thailand mendahului Kumpulan F berkongsi empat mata bersama Lubnan, diikuti Malaysia (tiga mata) dan Mongolia (0).
Hanya 11 juara kumpulan dan empat naib juara terbaik layak ke pusingan akhir di Arab Saudi, Januari depan.
Malaysia sebelum ini layak ke edisi 2022 (Uzbekistan) dan 2024 (Qatar), dengan pencapaian terbaik mara ke suku akhir edisi 2018 di China.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami