KINSHASA: Wabak Ebola yang sedang melanda Republik Demokratik Congo (DRC) dipercayai berpunca daripada kejadian baharu penularan virus daripada haiwan kepada manusia, menurut kajian yang diterbitkan dalam jurnal perubatan Nature Medicine.
Penyelidik yang menganalisis sampel virus daripada pesakit di DRC dan Uganda mendapati strain Bundibugyo yang menyebabkan wabak semasa berbeza daripada strain yang terlibat dalam wabak Ebola sebelum ini pada 2007 dan 2012.
Penemuan itu menunjukkan virus berkenaan berkemungkinan berpindah daripada takungan haiwan kepada manusia melalui satu kejadian baharu sebelum merebak secara meluas menerusi jangkitan sesama manusia.
Setakat ini, wabak tersebut telah menyebabkan lebih 2,000 kematian daripada 4,449 kes yang direkodkan, menjadikannya antara wabak Ebola paling pantas merebak dalam sejarah.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut memberi amaran bahawa penularan strain Bundibugyo kini berlaku lebih pantas daripada usaha kawalan yang dilaksanakan pihak berkuasa kesihatan.
Pakar penyakit berjangkit menjelaskan bahawa penularan baharu daripada haiwan tidak bermakna satu jenis Ebola baharu telah muncul.
Sebaliknya, virus itu dipercayai menular daripada haiwan kepada manusia sebelum terus merebak dalam komuniti melalui kontak rapat.
Ketika ini, tiada vaksin yang diluluskan khusus untuk strain Bundibugyo, namun beberapa calon vaksin dan rawatan eksperimen sedang dibangunkan.
Dalam pada itu, beberapa negara termasuk Bahrain, Rwanda dan Amerika Syarikat telah memperketatkan kawalan sempadan dan syarat kemasukan pengembara dari negara yang terjejas bagi mengelakkan penularan wabak ke wilayah masing-masing.