KUALA LUMPUR: Penyerang prolifik Johor Darul Ta'zim (JDT) Bergson da Silva menjaringkan hatrik ketika membantu skuad Harimau Selatan membelasah Kelantan FC 5-0 pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, pada Jumaat.

Kemenangan besar di hadapan penyokong sendiri itu menyaksikan JDT, yang juga juara Liga Super sembilan kali berturut-turut, mara ke peringkat separuh akhir dengan agregat 8-0 sementara Bergson meledak gol kelimanya dalam kempen Piala Malaysia.

Pada aksi tersebut, kelima-lima jaringan skuad kendalian Hector Bidoglio dihasilkan pada separuh masa pertama dengan Muhammad Syahmi Safari dan Muhammad Nazmi Faiz Mansor masing-masing turut mencetak nama sebagai penjaring menghampiri waktu rehat.

Gol pembukaan JDT hadir pada minit ke-12 berpunca daripada kawalan bola kurang kemas pemain tengah Kelantan, Felipe Hereda Dos Santos untuk membolehkan Muhammad Nazmi melakukan hantaran kepada Bergson yang berada dalam kotak penalti sebelum beliau tenang melepaskan rembatan.

Pemain import berusia 31 tahun dari Brazil itu menggandakan kedudukan buat JDT pada minit ke-34 selepas menyempurnakan sepakan percuma menewaskan penjaga gol Ahmad Solehin Mamat yang 'kaku' di gawang.

Beliau melengkapkan hatrik tiga minit kemudian selepas memanfaatkan kesilapan pemain pertahanan lawan, Muhammad Ghaffar Abdul Rahman mengeluarkan bola dalam kawasan berbahaya yang menyaksikan beliau mudah melepaskan rembatan deras yang gagal diselamatkan Ahmad Solehin.

Berselang tiga minit, skuad bimbingan Rezal Zambery Yahya terus dihukum, kali ini giliran Muhammad Syahmi mencipta sensasi menerusi jaringan voli dari luar kotak penalti selepas menerima hantaran lambung sebelum Muhammad Nazmi mencetak gol kelima pasukan pada masa kecederaan babak pertama.

Lawan JDT di separuh akhir adalah naib juara tiga kali iaitu Sabah FC yang melakar kemenangan agregat 2-1 menentang Kuching City FC selepas seri 1-1 pada pertempuan suku akhir kedua di Stadium Likas, Kota Kinabalu yang tertangguh selama 45 minit atas faktor cuaca buruk.

Penyerang import dari Jepun, Taiki Kagayama muncul wira skuad Sang Badak menerusi jaringan kemenangan pada minit ke-94 selepas perlawanan berlanjutan ke masa tambahan apabila kedudukan agregat terikat 1-1 dalam masa permainan sebenar.

Ia merupakan gol pertama yang dicetak Kagayama dalam kempen Piala Malaysia musim ini.

Terdahulu, Kuching City berjaya mendapatkan gol yang dicari-cari pada minit ke-84 hasil jaringan sendiri pemain gantian Sabah, Ummareng Bacok ketika cuba mengeluarkan bola daripada sepakan sudut selepas kedua-dua pasukan buntu menemui penyudah susulan bergelut di atas permukaan padang yang becak.

Keputusan 1-1 kekal sehingga wisel penamat yang menyaksikan bekalan satu gol Sabah ketika meraih kemenangan 1-0 di kubu lawan minggu lepas menjadi perbezaan yang membolehkan skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee melangkah ke separuh akhir.

-- BERNAMA