REAL MADRID 4 BAYERN MUNICH 2
(Real Madrid mara dengan agregat 6-3)

Jurulatih Real Madrid, Zinedine Zidane, memuji Cristiano Ronaldo kerana menjadi pemisah ketika menghantar pasukannya ke separuh akhir Liga Juara-Juara dengan menyingkirkan Bayern Munich, awal pagi tadi.

Ronaldo melakar hatrik ketika Madrid meraih kemenangan kontroversi 4-2 dalam masa tambahan perlawanan kedua di Santiago Bernabeu untuk mara 6-3 secara agregat.

Bagaimanapun, dua gol daripada bintang Portugal itu dalam masa tambahan didakwa ofsaid dan pada masa yang sama, Arturo Vidal dibuang padang sebelum tambahan masa.

Zidane memuji Ronaldo, yang diejek oleh peminat di laman sendiri untuk muncul pemain pertama yang mencapai angka 100 gol dalam saingan Liga Juara-Juara.

"Dia telah menunjukkan bahawa pada saat-saat getir, dia ada. Dia membuat perbezaan," kata pengurus Perancis itu dalam sidang akhbar.

"Apabila dia diperlukan, dia ada. Dia adalah unik dan kami gembira untuknya dan untuk pasukan. Dan bagi semua orang yang telah membantu kami di Bernabeu."

Sepakan penalti Robert Lewandowski dan gol sendiri oleh Sergio Ramos serta gol Ronaldo, melanjutkan permainan ke masa tambahan.

Bagaimanapun, dua lagi gol sumbangan Ronaldo dan jaringan Marco Asensio memastikan kemaraan Madrid ke peringkat separuh akhir dan Zidane berasakan ia berhak, walaupun dalam kontroversi.

"Kami bermain menentang pasukan terbaik dengan cara itu, tetapi kami menjaringkan enam gol dan mereka menjaringkan tiga, jadi kami berhak untuk layak," kata Zidane.

"Kami mempunyai deretan peluang pada separuh masa pertama dan kemudian kami tidak diberi laluan selesa."