Meskipun meleburkan impian meraih tiga mata berharga, pengendali kebangsaan Paul Revington tetap berpuas hati dengan aksi yang dipamerkan pemain-pemain negara.

Menurut Revington, dirinya kecewa dengan keputusan seri kerana dari segi persembahan keseluruhan, pasukan negara mampu meraih kemenangan.

“Pasukan negara bijak melakukan serang balas dan menyempurnakan peluang gol terhad yang dimiliki," kata Revington ketika ditemubual saluran 801, Astro Arena sejurus selepas perlawanan”, kata Revington.

Malaysia mencapai keputusan seri 2-2 menentang Pakistan pada perlawanan keempat Kejohanan Hoki Sultan Azlan Shah.

Dalam perlawanan itu, pasukan negara pada mulanya bermula cemerlang dengan ledakan gol seawal minit ke-6 yang di jaringkan Faizal Saari.

Bagaikan tersentak pasukan Pakistan terus mengasak benteng pertahanan Malaysia sehingga akhirnya berjaya dibolosi pada minit ke-15 yang disempurnakan oleh Muhammad Imran.

Selepas separuh masa pertama, pasukan negara dilihat bermain dengan lebih cemerlang menangkis pelbagai serangan lawan.

Pada minit ke-51, pasukan negara yang melihat peluang untuk membolosi gawang lawan terus menyerang sehingga membuahkan gol yang kemas menerusi jaringan Muhammad Razie Abdul Rahim.

Pasukan Pakistan yang dilihat mempunyai pelbagai peluang untuk membolosi gawang negara terus menyerang gawang negara bagi mendapatkan gol penyamaan.

Akhirnya, hanya sepuluh minit selepas jaringan pasukan Malaysia, Pakistan sekali lagi membolosi gawang negara hasil jaringan Ali Shan pada minit yang ke-62 dimana Keputusan 2-2 kekal hingga ke wisel penamat.

Menurut Revington, pasukan Malaysia kini perlu meraih keputusan positif berdepan India, pada aksi terakhir kumpulan Sabtu ini, untuk mengesahkan laluan ke pentas final.

Apa sekalipun pencapaian keseluruhan Malaysia, Revington tampak berjaya memberi nafas baru kepada corak permainan skuad negara.

Corak permainan hoki moden, yang mengutamakan corak permainan menyerang, kini sudah mampu diterapkan.

Justeru, landasan ke tahap lebih tinggi sudah disajikan pengendali kelahiran Afrika Selatan ini.