JURULATIH Sweden, Janne Andersson, menegaskan Zlatan Ibrahimovic tidak mempengaruhi persediaan pasukan berkenaan menjelang aksi pembukaan dengan Korea Selatan, malam esok.

Penyerang LA Galaxy, Ibrahimovic, bersara daripada bola sepak antarabangsa selepas Euro 2016 tetapi memberi bayangan kemungkinan menyertai pusingan akhir di Russia berikutan terbabit dalam iklan komersial temasya itu.

Andersson berkata pemain berusia 36 tahun itu berada di luar perancangan pasukan apabila mereka bakal membuka kempen di Nizhny Novgorod.

Beliau memberitahu sidang akhbar: "Saya menjadi ketua jurulatih hampir dua tahun lalu selepas Euro 2016, manakala Zlatan Ibrahimovic bersama beberapa pemain lain memilih mengumumkan untuk meninggalkan pasukan kebangsaan.

"Saya menghormati keputusan berkenaan dan itu adalah titik akhir kerjaya luar biasanya bersama Sweden. Sejak itu, dia sama sekali tidak terlibat dengan pasukan.

"Tiada hubungan di antara dia dan pasukan atau pemain lain yang telah bersara," katanya.

Peninjau pasukan lawan kelihatan menjelang aksi pertama Sweden dalam Piala Dunia sejak kekalahan mereka dalam pusingan 16 di Jerman pada 2006.

Timbul cadangan bahawa gelanggang latihan utama Sweden di Gelendzhik terlalu mudah untuk diintip pesaing mereka sementara wujud tuduhan bahawa pegawai peninjau, Lars Jacobsson, telah menyewa sebuah rumah demi memudahkannya memantau kem pra-kejohanan Korea Selatan di Austria.

Bagaimanapun, Andersson mengatakan pendekatan itu adalah normal.

"Dia mendapat tahu tentang sesi latihan, namun dia tahu bahawa ia adalah sesi tertutup, lalu dia diminta pergi dan memantaunya dari jauh," katanya.

"Sangat penting buat kami menghormati lawan kami, jika ia ditafsir dengan cara lain, kami memohon maaf.

"Muslihat hanya akan tersembunyi jika mereka disembunyikan. Tiada apa yang ingin saya selindungkan seperto ketua jurulatih Korea dan helahnya. Terserah kepadanya."

Andersson juga menjelaskan tugas yang dilakukan oleh "jurulatih kesukanan" pasukan, adalah tentang kerjasama dengan pemain mengenai ketahanan mental.

"Saya telah bekerja dengannya di bekas pasukan yang saya yang kendalikan dan dia merupakan sebahagian daripada pasukan," tambahnya, "tidak ada yang aneh tentang pembinaan mental.

"Dia sangat bagus atas apa yang dilakukannya dan dia adalah bahagian penting pasukan."