PEMAIN tenis sensasi, Iga Swiatek berada dalam kelas tersendiri apabila merampas takhta nombor satu dunia daripada Aryna Sabalenka dari Belarus.

Kejayaan itu diraih setelah pemain Poland itu menundukkan Jessica Pegula dari Amerika Syarikat (AS) untuk mengungguli Final WTA dalam aksi yang tertangguh akibat hujan awal pagi Selasa.

Sabalenka merampas gelaran nombor satu dunia daripada Swiatek selepas Terbuka AS September lalu.

Pemain berusia 22 tahun itu mendominasi permainan dari awal untuk melakar kemenangan 6-1, 6-0 dalam tempoh 59 minit di Cancun, Mexico.

Pegula sebelum ini menewaskan Swiatek dalam pertemuan di Montreal pada Ogos.

“Terima kasih kepada pasukan yang bersama saya sepanjang musim.

“Kami berdepan banyak detik turun naik tetapi kali ini sudah pasti naik dan banyak lagi akan datang jika kami terus bekerja keras,” kata pemain pilihan kedua kejohanan itu.

Kemenangan ke-17 dalam kariernya itu memastikan Swiatek, juara major perseorangan empat kali, menamatkan musim sebagai pemain nombor satu dunia untuk tahun kedua berturut-turut. - Sinar Harian