SPORTS
Impian Liga Juara-Juara Manchester City menyala

Matheus Nunes meraikan kejayaan menjaringkan gol kedua pasukannya ketika perlawanan EPL antara Manchester City dan Aston Villa di Stadium Etihad, Manchester, England, 22 Apr 2025. (Foto AP)
JARINGAN dramatik masa kecederaan Matheus Nunes mengekalkan Manchester City di jajaran ke Liga Juara-Juara musim depan apabila meraih kemenangan 2-1 ke atas Aston Villa dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Etihad pada Rabu.
Perlawanan sebelum itu dijangka berakhir dengan seri selepas gol penalti Marcus Rashford memadamkan jaringan awal Bernardo Silva pada separuh masa pertama.
Namun, Nunes muncul wira apabila menyambut hantaran lintang Jeremy Doku pada minit ke-94 untuk melonjakkan City dua anak tangga ke kedudukan ketiga liga dengan 61 mata.
Bagaimanapun, skuad kendalian Pep Guardiola telah bermain satu perlawanan lebih berbanding tiga pasukan di belakang mereka - Nottingham Forest, Newcastle United dan Chelsea.Sementara itu, Villa yang kini mencatatkan 15 kekalahan berturut-turut di Stadium Etihad, kekal di tangga ketujuh dengan 57 mata dalam persaingan sengit di kelompok teratas liga.
"Kami tidak biasa (mencetak gol kemenangan lewat), jadi saya sangat-sangat gembira dengan gol yang kami jaringkan pada akhirnya, kerana kami berada dalam empat atau lima perlawanan terakhir, dan merupakan pencabar kelayakan Liga Juara-Juara," kata Guardiola.
City mendahului seawal minit ketujuh apabila Omar Marmoush melepasi pertahanan kanan Villa, Matty Cash, sebelum melakukan hantaran lintang kepada Silva yang berlari masuk ke dalam kotak penalti.
Penjaga gol Villa, Emi Martinez, sempat menepis bola, namun tidak cukup untuk menghalangnya daripada menerjah jaring.
Villa menyamakan kedudukan pada minit ke-18 apabila Rashford tenang menyempurnakan sepakan penalti selepas bantuan video pengadil (VAR) mengesahkan Ruben Dias mengasari Jacob Ramsey dari belakang.
City kemudian terus mengasak dan mencatatkan 14 percubaan berbanding tujuh oleh Villa, sebelum Doku melakukan larian di sebelah kiri dan menghantar bola kepada Nunes yang tidak mensia-siakan peluang.
"Ini adalah perlawanan yang sangat sukar, lawan yang sangat sukar, dan kami datang dengan mentaliti bahawa kami perlu memenangi perlawanan ini. Dan itulah yang berlaku. Masa yang sempurna," kata Nunes.
Sementara itu, pengendali Villa, Unai Emery, mengakui kekecewaan selepas gagal membawa pulang sebarang mata.
“Kami bersaing rapat untuk lima kedudukan teratas dan ini adalah perlawanan penting untuk tiga mata. City lebih mendominasi sepanjang 90 minit, namun kami juga bermain dengan kompetitif. Kami akan teruskan dan ambil sisi positif dari perlawanan ini,” katanya. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami