KUALA LUMPUR: Beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik sekali lagi tersingkir daripada kempen Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dengan rekod buruk apabila gagal meraih sebarang kemenangan di Hangzhou, China hari ini.

Ia selepas juara dunia 2022 itu mengalami kekalahan ketiga berturut-turut pada aksi terakhir Kumpulan A di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik Hangzhou, sekali gus menduduki tempat tercorot sama seperti edisi lepas.

Pada pertembungan hari ini, Aaron-Wooi Yik cuba memberikan tentangan ketika berdepan Liang Wei Keng-Wang Chang namun gagal menyaingi kehebatan gandingan nombor satu dunia itu selepas tumpas 21-18, 14-21, 12-21 dalam tempoh sejam.

Kemenangan dilakar gandingan tuan rumah itu membolehkan mereka menamatkan saingan kumpulan di kedudukan kedua untuk mengiringi juara yang juga rakan senegara Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi ke peringkat separuh akhir.

Terdahulu, Liu-Ou mudah menumpaskan wakil Jepun Takuro Hoki-Yugo Kobayashi yang menamatkan saingan kumpulan di posisi ketiga, 21-12, 21-17, sekali gus melangkah ke pusingan kalah mati dengan rekod tanpa kalah dalam misi mempertahankan gelaran dimenangi tahun lepas.

Kegagalan Aaron-Wooi Yik yang juga pemenang gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 menyaksikan mereka terus kempunan melangkah ke peringkat separuh akhir dalam empat kempen Jelajah Dunia Akhir BWF selepas edisi 2022, 2020 dan 2019 sejak ia diperkenalkan pada 2018.

Pencapaian terbaik Malaysia adalah mara ke separuh akhir beregu lelaki menerusi gandingan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi pada edisi lepas yang berlangsung di Thailand.

Di sebalik prestasi kurang memuaskan pada kempen Jelajah Dunia Akhir BWF tahun ini, Aaron-Wooi Yik yang juga pasangan ketiga dunia itu berjaya meraih pingat gangsa kejohanan dunia pada Ogos, gangsa di Sukan Asia Hangzhou 2022 (Oktober) dan menamatkan penantian merangkul gelaran Jelajah Dunia buat julung kali selepas menjuarai Terbuka Denmark dalam bulan sama.

-- BERNAMA