KUALA LUMPUR: Kemarau kejuaraan dalam kejohanan terbuka di laman sendiri masih lagi tiada noktahnya.

Selama dua tahun kejohanan berlangsung, tiada pemain badminton negara dapat beraksi di separuh akhir Terbuka Malaysia selepas harapan Malaysia yang tinggal, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tewas di suku akhir beregu lelaki kepada Juara Dunia Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae dari Korea Selatan 21-16, 18-21, 13-21, di sini malam tadi.

Wakil terakhir Malaysia yang menjadi Juara Jelajah Dunia Super 1000 itu ialah Datuk Lee Chong Wei yang memenangi mahkota perseorangan lelaki ke-12nya pada edisi 2018.

Dalam pertemuan suku akhir malam ini di Arena Axiata yang hampir penuh dengan penyokong, Aaron-Wooi Yik menggembirakan penyokong Malaysia dengan kemenangan 21-16 dalam set pertama tetapi beregu nombor tiga dunia itu gagal mengekalkan momentum dan membolehkan beregu Korea Selatan itu memenangi set kedua dan memaksa kepada perlawanan penentuan.

Walaupun memberikan tentangan sengit pada peringkat awal, Aaron- Wooi Yik gagal mengatasi kemaraan Min Hyuk-Seung Jae untuk memastikan slot separuh akhir menjadi milik mereka.

Pencapaian terbaik Malaysia sejak kegemilangan Chong Wei pada 2018 ialah penampilan beregu lelaki Aaron-Wooi Yik dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dalam separuh akhir edisi 2022.

Terdahulu, beregu lelaki profesional negara Ong Yew Sin-Teo Ee Yi tersingkir buat kali ketiga berturut-turut dalam suku akhir selepas tewas 15-21, 9-21 kepada Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dari Jepun, semalam.

Dalam satu wawancara selepas perlawanan, Aaron berkata keterujaan untuk menang membawa padah kepada mereka.

"Saya rasa perlawanan hari ini kami bermula dengan baik tetapi dalam set kedua kami sangat teruja untuk menang dan hilang tumpuan, " katanya kepada pemberita.

Bagaimanapun, Aaron berkata beliau berharap untuk dapat kembali konsisten dalam kejohanan akan datang, menyasarkan matlamat utamanya, Sukan Olimpik Paris 2024 yang dijadualkan berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos.

Dalam perlawanan separuh akhir hari ini, beregu pilihan keenam kejohanan Min Hyuk-Seung Jae akan berhadapan beregu pilihan kedua Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dari India yang menundukkan wakil China He Ji Ting-Ren Xiang Yu 21-11, 21-8 dalam satu lagi perlawanan suku akhir.

Sementara itu, Juara Bertahan Perseorangan Lelaki Viktor Axelsen dari Denmark bangkit daripada ketinggalan dalam set pertama dengan menewaskan wakil Hong Kong, Angus Ng Ka Long 16-21, 21-18, 21-9 untuk melangkah ke separuh akhir.

Axelsen yang merupakan pemain nombor satu dunia menjelaskan kemenangan beliau hari ini adalah lebih baik daripada kemenangannya dengan keputusan 21-17, 20-22, 21-17 dalam pusingan kedua ketika berhadapan Lee Cheuk Yiu juga dari Hong Kong.

Pemain Denmark itu juga memuji Angus yang tabah bertarung dengannya selama 61 minit.

Axelsen akan bertemu pemain pilihan ketujuh Shi Yu Qi dalam separuh akhir selepas wakil China itu menundukkan rakan senegara Lu Guang Zu 8-21, 21-11, 21-10 dalam perlawanan suku akhir.

-- BERNAMA