IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dipilih menjadi tuan rumah bagi Kejohanan Sukan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Malaysia (MALA) 2022, yang bermula secara rasmi hari ini.

Penganjuran kejohanan ini juga diadakan bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Hari Bandar Raya Ipoh ke-34.

Menurut Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin, bandar raya Ipoh menjadi lokasi bagi perasmian kejohanan ini yang disempurnakan oleh Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.

Perasmian berlangsung di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, Ipoh.

Hadir sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Datuk Ar.Yew Tung Seang, yang juga merangkap Presiden MALA.

Rumaizi berkata, kejohanan yang bermula 3 Jun hingga 30 Oktober ini membabitkan tiga fasa pertandingan yang akan berlangsung di lima buah PBT seluruh Malaysia.

Ia termasuk Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dan Majlis Daerah Pekan (MDP), yang mempertandingkan 11 acara sukan.

Katanya lagi, kejohanan bagi fasa pertama pertandingan ini berlangsung mulai 3 hingga 5 Jun 2022 di Kompleks Sukan MBI.

"Ia melibatkan acara bola sepak, dart dan hoki yang telah menarik penyertaan lebih daripada 2,000 atlet dan pegawai dari PBT seluruh negara," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Matlamat utama penganjuran kejohanan ini adalah untuk menerapkan semangat kesukanan di antara atlet seterusnya dapat merapatkan ukhuwah di antara PBT seluruh negara.