KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) diarah membentuk jawatankuasa siasatan bagi meneliti insiden atlet paralimpik Muhammad Ziyad Zolkefli terlepas pingat emas lontar peluru F20 pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata MSN akan bekerjasama dengan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) menyiasat kejadian berkenaan secara menyeluruh.

Dalam pada itu, beliau menggesa semua pihak supaya tidak menuding jari mencari kesalahan sesiapa.

"Perkara lebih penting ialah semua pihak Termasuk Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) dan World Para Athletics (WPA) melihat semula peraturan termasuk yang memerlukan kebijaksanaan dalam pengurusan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

BACA: Paralimpik Tokyo 2020: Malaysia cuba dapatkan rakaman CCTV sebagai bahan bukti 

Sementara itu, beliau berkata akan menyambut kepulangan Ziyad pada Jumaat dan menegaskan atlet berkenaan akan tetap disambut sebagai wira kebanggaan negara.

“Saya juga ingin menyeru semua rakyat Malaysia untuk terus memberikan sokongan kepada Muhammad Ziyad Zolkefli dalam mengharungi dugaan ini dan pada masa yang sama terus menyatakan sokongan kepada atlet–atlet negara yang masih bertanding di Tokyo untuk terus komited menunjukkan prestasi terbaik,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) merakamkan ucapan terima kasih kepada delegasi Ecuador dan Australia yang telah bersama-sama mengemukakan rayuan meskipun tidak memberi kesan perolehan pingat kepada atlet negara itu.

“Atas dasar semangat kesukanan paralimpik yang tinggi, kedua-dua negara tersebut berdiri teguh menyokong rayuan kontinjen Malaysia,” ujarnya.


Cerita Sebalik Berita: Pulangkan semula pingat emas milik Ziyad
 
Presiden MPM, Datuk Seri Megat Shahriman Zaharudin, sebelum ini dilaporkan berkata, Malaysia akan cuba mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi melihat situasi sebenar berhubung dakwaan Ziyad lewat memasuki call room.

Katanya, langkah itu bertujuan untuk dijadikan bahan bukti bagi tindakan lanjut yang akan dibuat selepas ini.

Ziyad sepatutnya mempertahankan pingat emas yang dimenanginya dalam edisi di Rio lima tahun lalu selepas memecahkan rekod dunia dengan lontaran sejauh 17.94m di Stadium Olimpik Tokyo semalam.

Bagaimanapun, penyertaannya dibatalkan selepas protes daripada kem Ukraine, yang mendakwa atlet berusia 31 tahun itu lewat melaporkan diri di call room (bilik pemeriksaan).