MASIH segar dengan cerita kejayaan skuad Harimau Malaya mara ke Piala Asia 2023 secara merit -- detik manis itu memberikan tempias positif buat prospek pemain kacukan negara, Jaami Qureshi, yang terpanggil untuk menyahut panggilan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Kepulangan Jaami Qureshi, menghangatkan spekulasi kebarangkalian pemain yang beraksi posisi sayap itu akan menyarung jersi keramat Harimau Malaya pada masa akan datang -- lebih-lebih lagi pemain yang berpangkalan di England itu sudah bersua muka dengan pengurusan tertinggi FAM.

Namun persoalannya, bila lamaran secara rasmi itu akan dibuat? Pada ketika Jaami Qureshi turut dipancing skuad kebangsaan Iraq serta Wales untuk projek jangka masa panjang.

Nama Jaami Qureshi bukanlah asing selepas sekian lama dicanang memperkuat skuad negara seiring dengan bakat muda meningkat naik antaranya seperti Wan Kuzain Wan Kamal.

Pertemuan empat mata bersama Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Saifuddin Abu Bakar, memberi indikasi bahawa kudratnya bakal ditagih skuad negara pada masa akan datang.

Menerusi perkongsian menerusi Nadi Arena, Qureshi menyambut baik desas-desus kemungkinan membarisi skuad kendalian Kim Pan-gon, sambil memberi bayangan menambah kualiti di jentera serangan.

"Saya berasakan ini merupakan satu peluang terbaik buat saya tetapi buat masa ini masih belum mendapat maklum balas dari FAM," kata Qureshi.

"Ketika ini, kami sedang membincangkan mengenai masa depan karier saya, saya mahu kekal di England untuk beraksi di peringkat kelab.

"Semangat yang dipamerkan buat skuad Harimau Malaya merupakan salah satu perkara yang menarik perhatian saya.

"Saya telah menyaksikan saingan kelayakan Piala Asia ini dan berasakan kehadiran jurulatih baru itu telah meningkatkan lagi mutu pasukan."

*Artikel asal disiarkan di Stadium Astro