PHNOM PENH: Kontinjen Malaysia akur dengan keputusan muktamad pihak juri berhubung kontroversi pingat emas jaguh baling tukul besi lelaki negara, Jackie Wong yang 'dirompak' pada hari pertama olahraga Sukan SEA 2023 di sini Isnin lepas.

Ketua Kontinjen (CDM) ke Sukan SEA 2023 Datuk Mohd Nasir Ali berkata ini kerana Jackie telah pun menerima pingat sekali gus menyaksikan beliau terlepas peluang mempertahankan emas dimenangi pada edisi 2021 selepas musuh ketatnya dari Thailand, Kittipong Boonmawan menjuarai acara tersebut.

Katanya Malaysia telah melancarkan dua protes iaitu daripada Jackie sendiri serta protes bertulis pengurus pasukan, Datuk R. Annamalai, namun kedua-duanya ditolak penganjur.

"Kita telah buat apa yang perlu dibuat (protes). Lagi pun semalam kita sudah terima pingat, jika nak pertikai, kita dah terima pingat, jadi kiranya kita sudah terima keputusan (pemenang acara baling tukul besi lelaki)," katanya.

Jackie yang pada awalnya membuat balingan sejauh 64.20 meter (m) pada percubaan ketiga daripada sejumlah enam balingan tidak berjaya mengatasi catatan Kittipong, yang melakukan 64.49m juga pada percubaan ketiga untuk merampas semula emas daripada tangan pemegang rekod kebangsaan itu dan seterusnya mengulangi pencapaiannya pada 2019.

Bagaimanapun, saingan penuh kontroversi itu menyaksikan Jackie yang juga pernah menjuarai edisi 2017, mendakwa bahawa beliau berjaya membuat balingan terakhirnya sejauh 64.64m sebelum catatannya ditolak susulan kesilapan teknikal para juri di Stadium Nasional Morodok Techo.

Sementara itu, Mohd Nasir tetap yakin kontinjen negara dapat mencapai sasaran 40 emas ditetapkan sebelum temasya dwitahunan itu melabuhkan tirainya pada 17 Mei ini biarpun kehilangan beberapa emas antaranya daripada skuad hoki dalam dewan lelaki dan wanita.

"Saya yakin atlet kita akan cuba sedaya upaya mereka, kita tak akan mengalah dan lemah semangat kerana masih berjuang di sini," katanya.

Ahad lepas, skuad hoki dalam dewan lelaki negara terpaksa akur apabila tumpas 1-2 kepada Indonesia pada dalam penentuan pukulan penalti pada perlawanan akhir.

Skrip sama berlaku kepada pasukan wanita apabila tewas dalam aksi penentuan pukulan penalti kepada Thailand, 1-2, selepas kedua-dua pasukan buntu menjaringkan gol dalam permainan sebenar.

Sehingga semalam, Malaysia yang berada di kedudukan ketujuh telah mengutip 15 emas, 15 perak dan 32 gangsa.

-- BERNAMA