Pahang berjaya menamatkan kemarau selama lapan tahun bagi menjulang Piala FA buat kali kedua selepas mengalahkan Felda United FC (FUFC) 2-1 pada final di Stadium Shah Alam, malam ini.

Penyerang import dari Nigeria, Dickson Nwakaeme muncul wira skuad 'Tok Gajah' selepas meledak gol kemenangan pada minit ke-88 selepas kedua-dua pasukan terikat seri 1-1.

Skuad 'Tok Gajah', yang juga penyandang juara Piala Malaysia, muncul juara buat kali pertama pada 2006 selepas mengalahkan Perlis 4-2 menerusi penentuan penalti selepas terikat 0-0 selepas 120 minit perlawanan.

Pada pertemuan dengan FUFC, Pahang bermula garang menerusi percubaan Dickson seawal minit keenam yang melepasi palang gol lawan.

Kelekaan barisan pertahanan skuad 'Tok Gajah' membawa padah apabila penyerang berbisa skuad 'The Fighters', Edward Junior Wilson membuka tirai jaringan pada minit ke-22, sekali gus menceriakan hampir 10,000 penyokong mereka.

Tersentak dengan gol tersebut, pasukan Pahang kendalian Zainal Abidin Hassan kembali memperkemaskan permainan dan hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-38 namun tandukan Azidan Sarudin hasil hantaran Azamuddin Mohd Akil, sekadar singgah di palang gol Felda United FC.

Bersambung babak kedua perlawanan, kedua-dua pasukan saling mengasak ke kubu masing-masing dan namun nasib lebih menyebelahi Pahang yang berjaya menyamakan kedudukan menerusi gol pemain gantian, Mohd Faizol Hussein pada minit ke-79, sekali gus menceriakan hampir 50,000 penyokong skuad 'Tok Gajah'.

Nwakaeme mengesahkan Piala FA menjadi milik Pahang buat kali kedua selepas meledak gol kemenangan selepas menyempurnakan hantaran rakan sepasukan.

Kejayaan tersebut lebih manis untuk skuad 'Tok Gajah' selepas Mohd Faizol dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan akhir.

Trofi Piala FA disampaikan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP), yang juga Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah kepada kapten pasukan Pahang, Mohd Razman Roslan.