TOTTENHAM 1 ARSENAL 0

Tottenham Hotspur terus memberikan tekanan dalam kelompok lima pasukan terbaik apabila meraih kemenangan ke-15 dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan menewaskan Arsenal 1-0 di Stadium Wembley, sebentar tadi.

Spurs dan Arsenal sedang berusaha untuk mengukuhkan kedudukan mereka dalam saingan liga, sekali gus berusaha untuk merebut slot layak beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL) musim depan.

Kehadiran penyerang baru The Gunners, Pierre-Emerick Aubameyang, menjadi senjata utama buat Arsenal untuk meneruskan kemenangan 5-1 mereka ketika bertemu Everton sebelum ini.

Tempoh 45 minit pertama menyaksikan kedua-dua pasukan gagal mempamerkan persembahan menarik selepas tidak menemui ramuan untuk memecahkan benteng pertahanan.

Spurs meningkatkan tempo permainan selepas perlawanan bersambung dan mereka membuka jaringan pada minit ke-49 apabila Harry Kane menanduk masuk hantaran silang Ben Davies menewaskan penjaga gol Arsenal, Petr Cech.

Gol yang ke-23 buat Kane itu memadai untuk membantu pasukannya mencipta kemenangan bagi meraih tiga mata dan kini menghuni tangga ketiga liga.