ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta'zim (JDT) dijangka akan terus memperkuatkan pasukan itu dengan kemungkinan menandatangani tiga atau empat pemain import baharu, musim hadapan.

Ketua Jurulatih JDT Esteban Solari berkata pemain tengah Argentina Jalil Elias, merupakan antara muka baharu yang mungkin akan bermain untuk pasukan itu, musim hadapan.

"Ini sesuatu yang sedang kami rancangkan, (kerana) kami perlu perkuatkan pasukan dan perbaiki di beberapa bahagian.

"... dan ideanya ialah antara tiga atau empat pemain, tetapi ia bergantung kepada pemain mana (di JDT) yang akan meninggalkan pasukan," katanya ketika ditanya mengenai kemungkinan JDT mengambil pemain import baharu musim hadapan.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pasukan Harimau Selatan itu melengkapkan perlawanan terakhir Liga Super mereka dengan mengalahkan Penang FC 8-0, di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.

Ketika ditanya sama ada Muhammad Akhyar Abdul Rashid akan meninggalkan kelab itu, Solari berkata beliau mahukan pemain tengah kelahiran Kedah itu, kekal bersama JDT.

"Akhyar seorang pemain yang bagus, dia seorang perubah permainan, tetapi seperti saya katakan ini permintaan saya, dan ia bergantung kepadanya (untuk buat keputusan). Setiap pemain mempunyai (hak), kehendak dan motivasi (untuk bergerak ke hadapan)," katanya.

Sementara itu Solari menganggap kejayaan JDT itu hasil kerja keras daripada semua pihak dan perancangan cemerlang Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

"Dari permulaan musim (tahun), kami mahu melakukan yang lebih baik dengan meneruskan kecemerlangan musim lepas.

"Akhirnya kami berjaya, kerana kelab ini mempunyai petugas yang terbaik dan semangat pemilik kelab Tunku Mahkota Johor, sehingga kami mencapai tahap ini," katanya.

JDT mencatat sejarah apabila menjadi kelab pertama menjaringkan 100 gol dalam satu musim Liga Super selepas mengalahkan Penang FC 8-0, malam tadi.

Pasukan Harimau Selatan yang menjuarai empat trofi dua musim berturut-turut selepas menjuarai Piala Malaysia baru-baru ini, menamatkan musim ini dengan keseluruhan 76 mata dengan 25 kemenangan dan satu seri ketika bertemu Kedah Darul Aman (KDA) FC di Alor Setar, pada Ogos.

Kelab juga merekodkan penguasaan selama sedekat selepas memenangi 10 gelaran Liga Super berturut-turut sejak 2014.

-- BERNAMA