JOHOR BAHRU: Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT) yang muncul juara Liga Super 2021 mendermakan wang kemenangan berjumlah RM1 juta kepada petugas barisan hadapan dan keluarga mereka.

Johor Southern Tigers menerusi hantaran di Facebook rasmi memaklumkan, ia selaras dengan titah Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai tanda penghargaan kelab itu kepada mereka.

"Ini selaras dengan titah Tunku Ismail sebagai tanda terima kasih atas jasa dan pengorbanan mereka dalam memerangi wabak COVID-19 dan memastikan masa hadapan yang lebih baik. Terima kasih sekali lagi," menurut hantaran itu.

Semalam, JDT meraikan kejayaan mempertahankan piala Liga Super buat kali kelapan berturut-turut dengan percikan bunga api dan persembahan cahaya laser berwarna-warni di Stadium Sultan Ibrahim.

Para penyokong juga berpeluang untuk turut sama menyambut kemenangan itu menerusi In-Car Viewing Party atau menonton dari dalam kereta, dengan kehadiran 1,600 kenderaan penyokong memenuhi tapak parkir terbuka di kawasan stadium berkenaan.

Pasukan JDT juga membawa piala ke kawasan In-Car Viewing Party dengan menaiki bas khas tanpa bumbung pada 11.30 malam tadi.

-- BERNAMA