Juara Liga Super enam kali Johor Darul Taa'zim (JDT) telah menyelesaikan urusan mengikat bekas pemain Kedah Liridon Krasniqi, menjadikan beliau pemain terkini menyertai pasukan tersebut.

Pengumuman tersebut dibuat jurulatih JDT Benjamin Mora pada satu sidang media yang diadakan di Iskandar Puteri pada Jumaat.

Mora berkata pemain berasal dari Kosovo itu, akan didaftarkan sebagai pemain tempatan bulan hadapan selepas semua proses dokumentasi selesai.

Katanya Krasniqi adalah aset kepada pasukan dan percaya, pemain tengah itu akan dapat menyumbang kepada kejayaan pasukan, berdasarkan kepada pengalamannya.

"Dengan kualiti, skil dan karakter beliau, dia akan dapat sesuaikan diri dengan baik bersama JDT. Beliau satu aset pasukan dan juga kepada pasukan kebangsaan.

"Ini amat penting untuk kelab, (Krasniqi) amat dikenali dan pemain yang bagus. Saya ucapkan yang terbaik untuk beliau disamping dia tahu apa yang diwakili, logo JDT dan identiti dan saya rasa, dia akan lakukan yang terbaik untuk kami musim hadapan," kata Mora.

Sementara itu pemain berusia 27 tahun itu melahirkan perasaan gembira beliau, untuk dapat menjadi sebahagian daripada sebuah pasukan ternama.

"Apa yang buatkan saya bersama JDT... mudah untuk menjawabnya, kerana JDT adalah sebuah kelab terbaik di Asia Tenggara, kelab yang terbaik dengan impian yang besar, dengan program yang besar.

"Siapa yang tidak mahu menjadi sebahagian daripada kelab ini? (Terutamanya) bersama seorang pemimpin yang berjaya," katanya.

Bekas pemain Kedah itu, telah membantu pasukan Lang Merah menjuarai beberapa piala daripada 2015 hingga 2018, sebelum menyertai Melaka United tahun ini.

-- BERNAMA