KUALA LUMPUR: Hasrat pasukan Terengganu FC (TFC) untuk menamatkan kemarau 11 tahun menjulang trofi Piala FA tidak kesampaian.

Ia selepas skuad kendalian jurulatih Hector Bidoglio, Johor Darul Ta’zim  membelasah TFC 3-1 pada aksi final yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Harimau Selatan yang kali terakhir menjuarai Piala FA pada tahun 2016 dilihat menguasai perlawanan dengan beberapa percubaan dilakukan sehingga ke wisel penamat 90 minit.

JDT mula ‘mengganas’ selepas rembatan kencang Arif Aiman dari luar kotak penalti meletakkan JDT mendahului Skuad Sang Penyu 1-0 pada minit ke-35.

Berbekalkan semangat jaringan gol pembukaan, JDT terus mengasak gawang pasukan TFC, yang dikawal penjaga gol Terengganu Rahadiazli Rahalim.

Tersentak dengan jaringan tersebut, anak buah Nafuzi Zain cuba merencana beberapa peluang untuk menyamakan kedudukan.

Bagaimanapun, babak pertama berakhir dengan TFC gagal menembusi benteng kental JDT, yang dijaga Farizal Marlias.

Menerusi babak kedua pula, JDT diberikan sepakan penalti apabila penjaga gol TFC, Rahadiazli Rahalim menerjah Bergson da Silva di dalam kotak penalti ketika cuba untuk menyelamatkan bola.

Bagaimanapun, TFC merapatkkan kedudukan 1-2 menerusi jaringan Kipre Thetche pada minit ke-75.

Namun, tiga minit selepas stadium kembali bergema dengan sorakan penyokong Terengganu, Bergson da Silve sekali lagi menambah gol pada minit ke-78 sekali gus melebarkan kedudukan 3-1 sehingga wisel penamat ditiupkan.

Ia merupakan kemenangan kedua buat JDT dalam aksi Piala FA selepas membawa pulang takhta juara pada 2016 dengan menewaskan PKNS FC 2-1.

Manakala bagi Terengganu FC, tahun ini merupakan kali kelima skuad Sang Penyu itu layak ke final Piala FA, dengan dua kejuaraan pada 2000 dan 2011.