SKUAD Johor Darul Ta'zim (JDT) akan tampil sebagai pasukan bukan pilihan dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2024/2025 apabila sepak mula dijadual pada awal Mei.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi komen hantaran perpisahan dengan barisan kejurulatihan termasuk Esteban Solari serta beberapa pemain menerusi laman sosial pada Khamis.

Malah baginda yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) memberi bayangan ramai lagi pemain akan keluar dari kelab susulan langkah penjimatan yang dibuat oleh pasukan.

“Underdog tahun depan. Akan ada ramai lagi yang akan keluar dari club. Process berjimat,” komen Tunku Ismail menerusi komen di Instagram.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Alistair Edwards memaklumkan beberapa langkah progresif bakal diambil bagi memastikan kelangsungan kelab dapat diteruskan dengan stabil pada masa akan datang.

“Kelab telah memutuskan untuk mengurangkan perbelanjaan sebanyak 30-40 peratus untuk membolehkan proses tersebut.

"Kami tidak akan membelanjakan wang. Kami akan mengurangkan perbelanjaan kami,” katanya.

Skuad Harimau Selatan pada Khamis membuat keputusan mengejutkan apabila mengumumkan perpisahan dengan Solari.

Turut meninggalkan kelab ialah Rodrigo Barrios, Antonio Mateos, Antonio Gavilan dan Dr. Leandro Pinero dari barisan kejurulatihan.

“JDT juga ingin mengucapkan selamat maju jaya buat pemain yang akan dipinjamkan keluar seperti Oscar Arribas, Syafiq Ahmad, Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan Haziq Nadzli,” catat JDT menerusi Facebook Johor Southern Tigers pada Khamis.

- Sinar Harian