Jenazah Atlet Paralimpik Negara, Azlan Mat Lazin yang maut dalam kemalangan jalan raya di Seri Kembangan petang Sabtu, dikebumikan di Tanah Perkuburan Jabor Kubur, Kemaman kira kira jam 1.20 pagi tadi.

Perkarangan rumah Allahyarham dipenuhi dengan kehadiran sanak saudara dan rakan taulan sejak petang yang menunggu ketibaan jenazah.

Jenazah yang tiba jam 12 malam dari Kuala Lumpur terlebih dahulu dibawa ke kediamannya di Kampung Batu 3 Jalan Air Putih untuk solat jenazah.

Suasana hiba menyelubungi apabila jenazah Azlan dibawa masuk ke kediamannya.

Nama Allahyarham Azlan meniti di bibir peminat sukan negara selepas memenangi tiga pingat Emas pada Sukan Paralimpik Asia 2014 di Incheon.

Bapa Allahyarham Mat Lazin Ali berkata anaknya menghubunginya kira kira jam 11.00 pagi pada Sabtu untuk bertanyakan khabar serta menyatakan hasrat untuk membeli rumah baru kepada keluarganya serta mengerjakan umrah.

Walaupun terkejut dengan pemergian Allahyarham dan namun beliau redha dengan ketentuan Illahi dan menganggapnya sebagai ujian dari Yang Maha Esa.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Datuk Rozi Mamat menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai kehilangan permata yang amat bernilai dalam sukan paralimpik negara.

Pihaknya akan meneliti keperluan dan jenis bantuan untuk keluarga Allahyarham termasuk menguruskan bayaran pampasan insurans kepada keluarga Allahyarham.