Jerman mara ke Piala Dunia 2026 selepas benam Slovakia 6-0

Pemain Jerman meraikan bersama penyokong selepas menjuarai kumpulan untuk layak ke pusingan akhir Piala Dunia, pada Isnin. - Gambar Reuters
LEIPZIG, JERMAN: Pasukan Jerman mengesahkan tiket ke Piala Dunia 2026 selepas membelasah Slovakia 6-0 dalam aksi kelayakan terakhir, awal pagi tadi.
Skuad kendalian Julian Nagelsmann tampil garang dengan empat jaringan di separuh masa pertama, sekali gus menamatkan saingan kumpulan di tangga teratas dengan 15 mata.
Slovakia pula terpaksa berpuas hati di tempat kedua dan akan beraksi dalam pusingan play-off Mac depan.
Dominasi awal Jerman
Nick Woltemade membuka tirai jaringan pada minit ke-18, gol keempatnya dalam tiga perlawanan terakhir.
Serge Gnabry menambah gol kedua empat minit kemudian selepas percubaan awalnya diselamatkan Martin Dubravka.
Florian Wirtz pula mencipta dua assist untuk Leroy Sane menjaringkan gol ketiga dan keempat sebelum rehat.
Slovakia, yang pernah menewaskan Jerman di Bratislava September lalu, gagal menyaingi tekanan tuan rumah.
“Kami bermain dengan sangat baik malam ini. Dari awal hingga akhir kami tidak beri ruang di bahagian pertahanan dan tampil kreatif,” kata Woltemade.
Rekod baharu dan misi besar
Selepas rehat, Ridle Baku dan Assan Ouedraogo menambah dua lagi gol.
Ouedraogo mencatat sejarah sebagai penjaring termuda Jerman pada usia 19 tahun dalam penampilan sulungnya.
Pasukan Jerman, yang layak ke Piala Dunia buat kali ke-21 – kedua terbanyak selepas Brazil (23 kali) – secara terbuka menetapkan misi untuk menjuarai edisi 2026 yang akan berlangsung di Mexico, Amerika Syarikat dan Kanada.
Langkah itu bagi mengembalikan reputasi mereka sebagai kuasa besar bola sepak dunia selepas tersingkir seawal pusingan pertama pada dua edisi sebelum ini, iaitu 2018 dan 2022.
Sejak menjuarai Piala Dunia 2014 di Brazil, Jerman belum mara ke final mana-mana kejohanan utama antarabangsa. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


