SHAH ALAM: 'Memori Stadium Shah Alam' diangkat menjadi tema jersi baharu pasukan Gergasi Merah bagi musim 2023.

Selangor FC dalam kenyataan menerusi portal rasminya memaklumkan jersi utama atau home itu direka khas buat penyokong Merah Kuning, selain menjadikan Stadium Shah Alam sebagai sumber inspirasi utama dalam mengabadikan segala sejarah dan memori indah sepanjang 28 tahun kewujudan stadium itu.

"Penggunaan warna merah sebagai warna utama jersi ini adalah lambang keberanian, kekuatan serta semangat yang tinggi dalam pasukan dan warna 'pasir' sebagai warna kedua, kerana pasir ialah satu daripada komponen konkrit yang merupakan bahan binaan asas utama Stadium Shah Alam.

"Penggunaan sudut pandangan luar bentuk Stadium Shah Alam diletakkan sebagai simbol utama di belakang, manakala sudut pandangan hadapan stadium diterapkan di kolar dan lengan jersi ini.

"Label tag pada sisi kanan jersi ini pula merupakan koordinasi kedudukan stadium yang pelbagai kenangan tercipta dan tanah tumpah perjuangan Selangor," menurut kenyataan itu.

Katanya, motif wave yang timbul pada jersi berkenaan ialah berasaskan corak petak berisikan perkataan Selangor yang diambil daripada tempat duduk penyokong di Stadium Shah Alam yang cukup ikonik dalam kalangan penggemar kancah bola sepak Selangor dan Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC Johan Kamal Hamidon dalam kenyataan sama berkata pemilihan Stadium Shah Alam sebagai tema jersi home Gergasi Merah musim ini kerana ia melambangkan semangat kebersamaan antara kekuatan rakyat dengan pasukan Selangor sehingga kini.

"Sejarah pencapaian kelab di stadium ini amat berharga dan sukar ditandingi. Kami merasakan ini adalah masa yang terbaik bagi kita mengabadikan memori stadium ini dan pada masa yang sama turut menjadikan momen ini sebagai satu titik permulaan dan lembaran baharu yang lebih gemilang buat pasukan Selangor.

"Oleh itu, kami mengambil inisiatif memilih Stadium Shah Alam sebagai tema utama jersi home 2023 dengan menerapkan elemen ikonik infrastruktur stadium berkenaan ke dalam jersi ini. Tabik Terakhir merupakan mesej penghormatan dan penghargaan kepada sejarah dan memori stadium itu sebelum bertukar wajah menjadi Kompleks Sukan Shah Alam," katanya.

Jersi baharu itu boleh didapati pada Majlis Hari Jersi Selangor hari ini bermula pukul 10 pagi di pusat beli-belah SACC Mall, di sini dan secara dalam talian menerusi laman rasmi selangorfc.com.

-- BERNAMA